Sumber (versi asal dalam BI): https://www.malaymail.com/news/what-you-think/2021/02/23/pre-empting-the-anti-covid-19-vaccine-propaganda-amar-singh-hss-alan-teh-ke/1952040
23
FEBRUARI – Rencana ringkas ini bertujuan membantu kita memahami sebab-sebabnya jika
berlaku beberapa kematian dalam kalangan mereka yang menerima vaksinasi
Covid-19, terutamanya golongan warga emas.
Tujuan
rencana ini adalah menentang pengaruh lobi anti-vaksin serta sebarang ancaman
terhadap keberkesanan program pemvaksinan COVID-19 kebangsaan. Dalam rencana
ini, kami akan merujuk kepada data dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS)
dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menerangkan maksud kami.
Di
AS, kadar kematian yang dilaporkan bagi golongan berusia 65 tahun ke atas pada
tahun 2019 adalah 3,917 bagi setiap 100,000 bilangan penduduk (1,765 bagi
setiap 100,000 untuk golongan yang berusia 65-74; 4,308 untuk golongan yang
berusia 75-84 dan 13,299 untuk golongan yang berusia 85 tahun ke atas).
Sebab
utama kematian bagi golongan 65 tahun ke atas di AS dan EU ialah penyakit
jantung, strok (penyakit pendarahan otak), kanser dan penyakit pernafasan paru-paru;
lebih kurang sama dengan Malaysia.
Andai
kata kadar kematian ini adalah lebih kurang sama untuk rakyat Malaysia, ini bermakna bahawa
bagi setiap 100,000 warga Malaysia
berusia 65 tahun ke atas, lebih kurang 4,000 akan meninggal setiap tahun (dengan
kadar yang lebih tinggi bagi yang lebih tua).
Ini
setara dengan 75 kematian seminggu bagi setiap 100,000 orang yang berumur 65
tahun ke atas. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan
bahawa 7.1 peratus daripada penduduk Malaysia berusia 65 tahun ke atas, iaitu
2.34 juta orang.
Ini
bermaksud bahawa 1,755 kematian seminggu dijangka berlaku dalam kalangan warga
Malaysia yang berusia 65 tahun ke atas, walaupun tiada vaksinasi Covid-19. Ini
merupakan “baseline” (kadar dasar/kadar biasa) kematian yang dijangka setiap
minggu.
Oleh
itu, jika kita memberi vaksin Covid-19 kepada 100,000 warga Malaysia yang berusia
65 tahun ke atas, kita menjangka sekurang-kurangnya 75 orang akan meninggal
dalam tempoh tujuh hari disebabkan penyakit lain misalnya serangan sakit
jantung atau strok.
Ini
BUKAN kematian yang disebabkan oleh vaksin, tetapi sebenarnya kematian yang
sudah dijangka berlaku kerana penyakit-penyakit lain. Walau bagaimanapun,
kerana vaksin Covid-19 telah diberi, beberapa individu mungkin mendakwa bahawa kematian
tersebut disebabkan oleh vaksinasi dan turut menghasut pihak anti-vaksin.
Pada
detik ini, melebihi 200 juta dos vaksin telah diberi di merata dunia. AS (CDC Vaccine Adverse Event Reporting System) dan UK (Department of Health
Yellow Card reporting system)
sedang memantau sebarang kejadian buruk yang berlaku selepas vaksinasi.
Setakat
ini, daripada 26 juta dos vaksin yang sudah diberi di dua negara tersebut,
beberapa kematian (kadar biasa) telah berlaku seperti yang dijangka, tetapi
tinjauan laporan kematian tidak menujukkan bahawa vaksin memainkan peranan
dalam kematian tersebut.
Satu-satunya
kesan sampingan yang serius yang telah dikenal pasti ialah reaksi alahan berat
(anaphylaxis) yang berlaku dalam 4 hingga 11 kes, daripada setiap 1,000,000
dos.
Kementerian
Kesihatan kita akan memantau sebarang kejadian demikian selepas vaksinasi dan
akan mencari bukti jika adanya kaitan antara vaksin dan sebarang kesan buruk.
Kita
hanya perlu khuatir jikalau kadar kematian nyata meningkat besar dari kadar
biasa.
Sedangkan
kita akan memulakan program vaksinasi Covid-19 negara, amatlah penting untuk
orang ramai memahami hakikat ini. Barangkali orang yang kita sayangi akan meninggal
selepas vaksinasi, tetapi ini TIDAK mungkin disebabkan vaksin.
Sebagai
orang umum kita patut ambil tahu tentang sains dan data terkini, bukan menjadi
mangsa kepada khabar angin dan propaganda anti-vaksin.
*
Datuk Dr Amar-Singh HSS, Pakar Pediatrik; Dr Alan Teh Kee Hean, Pakar Hematologi;
Dr Lim Joo Kiong, Pakar Bedah; Professor Dr Nor Azmi Kamaruddin, Pakar Endokrinologi
dan Datin Dr Lim Swee Im, Pengamal
Perubatan.
Diterjemahkan
oleh Hwa Shi-Hsia M.Sc., ahli virologi. Terima kasih kepada SML, AR, dan HYY
yang memberi bantuan. Saya meminta maaf atas segala kesilapan.