Mendahului propaganda anti-vaksin Covid-19

Sumber (versi asal dalam BI): https://www.malaymail.com/news/what-you-think/2021/02/23/pre-empting-the-anti-covid-19-vaccine-propaganda-amar-singh-hss-alan-teh-ke/1952040

23 FEBRUARI – Rencana ringkas ini bertujuan membantu kita memahami sebab-sebabnya jika berlaku beberapa kematian dalam kalangan mereka yang menerima vaksinasi Covid-19, terutamanya golongan warga emas.

Tujuan rencana ini adalah menentang pengaruh lobi anti-vaksin serta sebarang ancaman terhadap keberkesanan program pemvaksinan COVID-19 kebangsaan. Dalam rencana ini, kami akan merujuk kepada data dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menerangkan maksud kami.

Di AS, kadar kematian yang dilaporkan bagi golongan berusia 65 tahun ke atas pada tahun 2019 adalah 3,917 bagi setiap 100,000 bilangan penduduk (1,765 bagi setiap 100,000 untuk golongan yang berusia 65-74; 4,308 untuk golongan yang berusia 75-84 dan 13,299 untuk golongan yang berusia 85 tahun ke atas).

Sebab utama kematian bagi golongan 65 tahun ke atas di AS dan EU ialah penyakit jantung, strok (penyakit pendarahan otak), kanser dan penyakit pernafasan paru-paru; lebih kurang sama dengan Malaysia.

Andai kata kadar kematian ini adalah lebih kurang sama untuk rakyat Malaysia, ini bermakna bahawa bagi setiap 100,000 warga Malaysia berusia 65 tahun ke atas, lebih kurang 4,000 akan meninggal setiap tahun (dengan kadar yang lebih tinggi bagi yang lebih tua).

Ini setara dengan 75 kematian seminggu bagi setiap 100,000 orang yang berumur 65 tahun ke atas. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa 7.1 peratus daripada penduduk Malaysia berusia 65 tahun ke atas, iaitu 2.34 juta orang.

Ini bermaksud bahawa 1,755 kematian seminggu dijangka berlaku dalam kalangan warga Malaysia yang berusia 65 tahun ke atas, walaupun tiada vaksinasi Covid-19. Ini merupakan “baseline” (kadar dasar/kadar biasa) kematian yang dijangka setiap minggu.

Oleh itu, jika kita memberi vaksin Covid-19 kepada 100,000 warga Malaysia yang berusia 65 tahun ke atas, kita menjangka sekurang-kurangnya 75 orang akan meninggal dalam tempoh tujuh hari disebabkan penyakit lain misalnya serangan sakit jantung atau strok.

Ini BUKAN kematian yang disebabkan oleh vaksin, tetapi sebenarnya kematian yang sudah dijangka berlaku kerana penyakit-penyakit lain. Walau bagaimanapun, kerana vaksin Covid-19 telah diberi, beberapa individu mungkin mendakwa bahawa kematian tersebut disebabkan oleh vaksinasi dan turut menghasut pihak anti-vaksin.

Pada detik ini, melebihi 200 juta dos vaksin telah diberi di merata dunia. AS (CDC Vaccine Adverse Event Reporting System) dan UK (Department of Health Yellow Card reporting system) sedang memantau sebarang kejadian buruk yang berlaku selepas vaksinasi.

Setakat ini, daripada 26 juta dos vaksin yang sudah diberi di dua negara tersebut, beberapa kematian (kadar biasa) telah berlaku seperti yang dijangka, tetapi tinjauan laporan kematian tidak menujukkan bahawa vaksin memainkan peranan dalam kematian tersebut.

Satu-satunya kesan sampingan yang serius yang telah dikenal pasti ialah reaksi alahan berat (anaphylaxis) yang berlaku dalam 4 hingga 11 kes, daripada setiap 1,000,000 dos.

Kementerian Kesihatan kita akan memantau sebarang kejadian demikian selepas vaksinasi dan akan mencari bukti jika adanya kaitan antara vaksin dan sebarang kesan buruk.

Kita hanya perlu khuatir jikalau kadar kematian nyata meningkat besar dari kadar biasa.

Sedangkan kita akan memulakan program vaksinasi Covid-19 negara, amatlah penting untuk orang ramai memahami hakikat ini. Barangkali orang yang kita sayangi akan meninggal selepas vaksinasi, tetapi ini TIDAK mungkin disebabkan vaksin.

Sebagai orang umum kita patut ambil tahu tentang sains dan data terkini, bukan menjadi mangsa kepada khabar angin dan propaganda anti-vaksin.

* Datuk Dr Amar-Singh HSS, Pakar Pediatrik; Dr Alan Teh Kee Hean, Pakar Hematologi; Dr Lim Joo Kiong, Pakar Bedah; Professor Dr Nor Azmi Kamaruddin, Pakar Endokrinologi  dan Datin Dr Lim Swee Im, Pengamal Perubatan.

Diterjemahkan oleh Hwa Shi-Hsia M.Sc., ahli virologi. Terima kasih kepada SML, AR, dan HYY yang memberi bantuan. Saya meminta maaf atas segala kesilapan.


This entry was posted in Uncategorized and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.